Budak Jatuh Tingkat 10 Maut

Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun disahkan meninggal dunia awal pagi semalam selepas bertarung nyawa selama 17 jam akibat kritikal kerana terjatuh dari tingkat 10 sebuah flat di Taman Perindustrian Lembah Jaya, di sini, kelmarin.

Mangsa meninggal dunia jam 1 pagi semalam ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang, di sini, selepas terjatuh dalam kejadian, jam 8 pagi kelmarin.



Sumber berkata, ketika kejadian, ibu mangsa tiada di rumah kerana menghantar seorang anaknya yang lain ke sekolah berhampiran.


“Namun, apabila wanita berusia 30-an itu pulang ke rumah, dia terkejut sebaik melihat anak lelakinya terjatuh menghempap bumbung sebuah kereta yang diletakkan bawah flat.



“Mangsa dipercayai terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 10. Ketika kejadian, jeriji pintu di bahagian balkoni berkenaan dalam keadaan terbuka.



“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai keluar ke balkoni sebelum terjatuh. Jiran mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian memaklumkan ibu mangsa,” katanya.


Menurut sumber itu, jiran segera menghantar mangsa ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut dan mangsa ketika itu masih tidak sedarkan diri.



Katanya, kanak-kanak terbabit menerima rawatan di ICU Hospital Ampang kerana cedera parah di kepala dan patah kaki sebelum disahkan meninggal dunia jam 1 pagi semalam.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Khairuldin Saad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.



Beliau berkata, pihaknya merakam keterangan ibu mangsa dan kes disiasat mengikut Akta Kanak-kanak 2001.



Related Posts :

0 Response to "Budak Jatuh Tingkat 10 Maut"

Post a Comment