Artikel ini adalah hasil perkongsian Tuan Lucius Maximus, boleh hubungi beliau melalui laman Facebook.
1. Sebaik sahaja duta Rusia ke Turki, Andrey Karlov ditembak mati, seluruh dunia dikatakan berminat untuk men-Google tentang Archduke Franz Ferdinand yang ditembak mati pada tahun 1914. Ya, lebih 100 tahun dahulu peristiwa pembunuhan Franz Ferdinand menjadi titik permulaan Perang Dunia Pertama. Franz Ferdinand dibunuh oleh nasional Serbia, mengakibatkan Empayar Austria-Hungary mengisytiharkkan perang ke atas Serbia, yang kemudian menyaksikan sekutu Serbia iaitu Rusia masuk campur dan akhirnya perang meletus di antara Kuasa Tengah dan Kuasa Bersekutu.
2. Pembunuhan duta Rusia ke Turki malam tadi memang tidak dapat lari dari disamakan dengan pembunuhan Franz Ferdinand. Pembunuhan seorang diplomat di negara asing bukan benda yang berlaku setiap tahun. Jadi bila Andrey Karlov maut di pistol Mevlut Mert Altintas, ianya tidak jauh berbeza dengan Franz Ferdinand yang maut di pistol Gavrilo Princip. Kita memang cenderung untuk melukis satu persamaan antara dua insiden tersebut.
3. Tapi kita patut bersyukur kerana pemimpin dan negara di dunia hari ini berbeza dengan pemimpin dan empayar yang wujud lebih 100 tahun dahulu. Kalau lebih 100 tahun dahulu pemimpin dan empayar dihantui dengan kegilaan imperialisme dan militarisme, hari ini mereka lebih tenang dan waras. Sekurangnya itulah yang dipegang oleh negara-negara Eropah yang sedar bahawa keamanan sejagat lebih penting dari keamanan melalui penaklukan ke atas negara pesaing.
4. Sebenarnya dua perang dunia yang pernah meletus telah banyak mengajar kita bahawa peperangan antara dua negara yang besar, atau pun peperangan antara dua pakatan akan hanya mengundang kehancuran yang tidak tergambarkan. Dan kewujudan senjata pemusnah besar (weapons of mass destruction) seperti senjata nuklear yang selama ini kita geruni akhirnya terbukti menjadi pencipta keamanan (peace maker). Sebab itulah ketamadunan manusia melalui fasa Perang Dingin dengan selamat. Terima kasih nuklear.
5. Jadi Rusia sudah pasti tidak akan mengisytihar perang ke atas Turki, dan NATO sudah pasti tidak akan ditarik ke dalam kancah peperangan kerana melindungi Turki. Yang membunuh duta Rusia berkemungkinan besar seorang pengganas atau bertindak atas kapasiti individu. Kalau peristiwa pesawat Rusia ditembak jatuh pesawat Turki tidak mencetuskan apa-apa perang, bagaimana mungkin tindakan solo Mevlut Mert Altintas boleh mencetuskan perang?
6. Paling tidak pun mereka akan hanya berperang melalui proksi dan perang proksi ini sedang pun berlaku di negara seperti Syria. Itu pun sudah hampir ke penghujung, setidak-tidaknya buat Turki dan Rusia yang kini sedang berbincang sesama sendiri untuk mencari penyelesaian politik yang mutlak di Syria. Hanya Amerika Syarikat dan sekutu lainnya yang masih sibuk dengan 'perjuangan kebebasan untuk rakyat Syria' mereka. Democracy we deliver, katanya.
7. Yang membawa aku kepada motif utama Mevlut Mert Altintas, polis Turki yang mungkin sebenarnya seorang pengganas atau seorang individu yang bersimpati kepada nasib pemberontak Syria. Selepas membunuh duta Rusia, beliau berteriak "Allahuakbar. Jangan lupakan Aleppo. Jangan lupakan Syria". Motif beliau jelas, memberi pengajaran kepada Rusia kerana menyokong Bashar Assad atau kerajaan Syria dan menunjukkan solidariti beliau ke atas perjuangan pemberontakan Syria. Tindakan beliau bagi aku tidak jauh beza dengan rakyat Malaysia yang minggu sudah meletupkan dirinya di Syria atas nama perjuangan.
8. Tapi perjuangan apa yang sebenarnya? Selamatkan Aleppo? Selamatkan rakyat Syria dari penindasan Bashar Assad? Tapi bukankah Aleppo itu selamat dan bukankah rakyat Syria rata-rata hidup dengan aman sebelum tahun 2011? Yakni, tahun sebelum tercetusnya Perang Saudara Syria yang berlanjutan sehingga ke hari ini.
9. Benar, rejim Bashar Assad dan kerajaan Syria itu kuku besi, tidak demokratik dan tidak sempurna. Tapi begitu juga dengan Arab Saudi dan kebanyakan negara Arab yang lain. Entah sejak bila demokrasi (seperti yang dijaja oleh Amerika Syarikat untuk dunia Arab) pernah menjadi pedoman bangsa Arab? Hanya Tunisia saja yang berhasil melalui Arab Spring dengan jaya. Tetapi apa jadi pada Libya, Mesir dan Yemen? Dan apa jadi pada Syria sekarang? Adakah jatuhnya rejim Bashar Assad (yang selalu disebut bersama dengan perkataan 'laknatullah' oleh rakyat Malaysia khususnya) boleh menjanjikan pelangi indah , langit biru dan rumput hijau untuk rakyat Syria?
10. Apakah yang sebenarnya berada dalam kepala otak Mevlut Mert Altintas bila melepaskan tembakan kepada Andrey Karlov? Tak jauh beza dengan apa yang ada dalam kepala otak pemandu trak yang menggilis para pembeli pasar Krismas di Jerman sebenarnya.
Kebodohan yang tak tersangkal.
0 Response to "Russia Bakal Melancarkan Perang Terhadap Turkey?"
Post a Comment