Artikel ini adalah hasil perkongsian Naziatul Azrin, anda boleh hubungi beliau melalui laman Facebook
- Perceraian. Selaku peguam dengan ratusan rekod pasangan yang telah aku bantu untuk bercerai, aku pernah menerima soalan, “adakah tugas aku ini teruk, jahat dan menyedihkan?”
- Pada tahun-tahun awal mengendalikan kes perceraian, tidak dinafikan aku sendiri terganggu fikiran dan terkesan emosi. Iyalah, kerja ‘memutuskan’ jodoh orang ini bukan tugas mudah. Selain prosiding undang-undang yang perlu difahami, kes-kes perceraian melibatkan orang-orang yang masih hidup. Maka sekaligus melibatkan perasaan.
- Ada banyak gaya dan keadaan klien bila berdepan peguam untuk memulakan proses perceraian. Ada yang bercerita menangis berderaian air mata, ada yang berapi-api dendam dan benci dan tidak kurang yang berwajah lesu – tanpa perasaan.
- Selepas beberapa tahun, apa yang aku dapat fahami adalah, orang bercerai sebagai usaha akhir untuk mencari jalan keluar. Jadi, seboleh mungkin aku akan memudahkan urusan ini.
- Kepuasan aku dalam mengendalikan kes perceraian adalah apabila melihat kelegaan dan cahaya harapan di wajah klien (yuran guaman pun kegembiraan juga tapi dalam konteks servislah.) Lega, sebab klien peroleh jalan keluar dan merasa ada harapan untuk memulakan kehidupan baru, kebahagiaan baru.
- Jadi menjawab soalan, apakah aku merasa teruk kerana pekerjaan aku memudahkan orang bercerai, maka jawapan aku – tidak. Sebab aku menganggap tugas aku sebagai penyelamat kepada ‘pertalian’ yang menjerut kehidupan. Menyakitkan perasaan.
- Perceraian bukanlah semudah mengklik butang unfriend di Facebook. Ia adalah proses pembubaran. Meruntuhkan. Luka yang terjadi dalam proses ini kadangkala bukanlah melibatkan perasaan dua manusia semata-mata. Ahli keluarga kepada pasangan akan turut terlibat sekali. Bahagian yang paling perit tentulah anak-anak.
- Ada berapa ramai orang yang masih bertahan dalam hubungan perkahwinan yang berantakan akibat mendahulukan perasaan orang lain berbanding perasaan sendiri? Padahal menelan perasaan perit sendiri-sendiri bukanlah hal yang baik. Lama-lama ia akan menjadi racun kepada diri.
- Takut. Malu berhadapan masyarakat kerana bergelar janda atau duda juga punca kepada pasangan bermasalah tidak bersedia untuk menghadapi perceraian dan hal ini kita (masyarakat) adalah golongan yang patut dipersalahkan.
- Meminjam semangat falsafah Soviet – Perestroika, “pembinaan semula (rekonstruksi) memerlukan keruntuhan (dekonstruksi) terlebih dahulu.” Maka itulah fungsi perceraian. Proses meruntuhkan demi membina semula kehidupan.
- Kesilapan masyarakat adalah memberi tanggapan bahawa perceraian adalah kegagalan abadi. Lebih teruk lagi, kita gagal menyambut orang-orang yang menghadapi perceraian ini dengan rasa empati. Drama di TV masih mempertontonkan babak janda di kedai kopi yang menjadi buruan para suami – musuh sekalian isteri. Gelaran janda atau duda dalam bualan harian pun dijadikan bahan untuk diumpat dan dipersendakan.
- Maka perkara-perkara melibatkan sikap masyarakat ini mendorong kepada dua hal; (i) pasangan bertahan tidak mahu bercerai lantas mengalami kemurungan, produktiviti kerja menurun dan mungkin ke tahap meragut nyawa. (ii) Orang yang telah bercerai cepat-cepat mahu berhubungan semula walaupun dalam keadaan tidak bersedia. Nah, hal-hal yang kita pandang ringan inilah akhirnya boleh menjurus ke arah tragedi. Contohnya, anak kecil maut dipukul kekasih.
- Sebahagian orang mengeluh apabila statistik perceraian pada tahun in menunjukkan jumlah yang tinggi. Keluhan ini adalah benar. Nampak seperti perkahwinan – salah satu institusi yang sepatutnya menghasilkan manfaat kepada manusia sejagat ini bagaikan permainan. Kerisauan yang munasabah.
- Tetapi di sudut lain, masih ada perkara positif yang boleh dilihat. Keberanian dan pengetahuan untuk keluar dari hubungan yang bermasalah. Juga sistem undang-undang yang baik untuk mengendalikan masalah rumah tangga. Bukan mudah orang hendak buat keputusan bercerai. Maka kekuatan menjadi berani ini, janganlah pula dibinasakan dengan anggapan bukan-bukan dan ‘senda-gurau’ yang kejam.
- Hubungan perkahwinan yang bermasalah ini ya Tuhan, hanya yang melaluinya saja dapat faham keperitannya bagaimana. Jadi yang bujang-bujang, jika boleh elakkanlah berkata “berkahwin pun kalau tak bahagia apa gunanya.” Come on, tidak ada orang berkahwin untuk saja-saja merasa derita. Tidak ada.
- Begitu juga yang sedang berbahagia dalam perkahwinan pun elakkan juga menggesa orang yang telah bercerai cepat-cepat mencari ganti. Saranan ini sama sahaja seperti menggesa perempuan dalam pantang untuk melahirkan anak lagi. Ingat, perceraian juga ada luka dan parut yang tersendiri. Lebih teruk, kecederaan ini wujud, tetapi tidak kelihatan di mata kasar.
- Perceraian, biarpun sejenis keruntuhan tetapi bukanlah kegagalan mutlak. Perceraian boleh jadi adalah kelegaan beroleh jalan keluar. Harapan untuk memulakan kehidupan yang lebih baik lagi.
- Seperti kehidupan di dunia ini yang sementara, bersyukurlah kerana kecederaan akibat perceraian sifatnya sementara dan bagi yang sedang berbahagia, bersabarlah kerana bahagia juga bersifat sementara. Semua orang sama sahaja dalam konteks sementara ini. Sama. Jadi, tenang-tenang saja dan bersederhana.
- Tamadun agung lagikan runtuh, inikan pula rumah tangga. Kegagalan dan kejayaan mutlak tidak ada di dunia yang sementara ini. Tidak ada. Itu adalah hal di alam yang belum waktunya untuk kita semua mendiaminya lagi – akhirat.
0 Response to "Tugas Aku Ini Teruk, Jahat Dan Menyedihkan Ke Selaku Peguam Cerai ?"
Post a Comment